Tuesday 13 August 2013

Puasa Sunat 6 Hari Di Bulan Syawal

Kelebihan puasa enam
Sambutan Aidilfitri adalah kemuncak kegembiraan bagi umat Islam setelah menempuh Ramadan dengan penuh ketakwaan kepada Allah SWT.

Mereka telah menghadapi siang Ramadan menahan lapar, dahaga dan rangsangan nafsu syahwat. Pada malamnya mereka akan tunduk sujud kepada Allah SWT melaksanakan `qiam Ramadan' iaitu solat sunat tarawih, tadarus al-Quran dan iktikaf di masjid.

Maka sudah tentu mereka yang beriman dan beramal soleh ini layak untuk menyambut Aidilfitri dengan penuh rasa syukur dan gembira.

Berlalunya Ramadan tidak bermakna kita tidak dituntut melakukan ibadah lain. Pelaksanaan ibadah bukan pada Ramadan tetapi bulan lain juga kerana kehidupan manusia itu keseluruhannya adalah ibadah kepada Allah SWT.

Begitulah juga dengan puasa. Walaupun puasa selama sebulan Ramadan sudah tamat namun kita masih lagi diberi peluang berpuasa iaitu dengan melakukan puasa sunat antaranya puasa sunat enam hari Syawal.

Janji pengampunan

Direkodkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Ayyub al-Ansari, Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang berpuasa pada Ramadan diikuti dengan puasa enam hari pada Syawal maka pahalanya adalah sama seperti puasa sepanjang tahun."

Nabi SAW menjelaskan puasa enam hari pada Syawal pahalanya sama seperti puasa setahun secara penuh. Namun syaratnya, setelah kita melengkapkan puasa sebulan Ramadan.

Jika puasa Ramadan, Nabi menjanjikan pengampunan dosa yang lampau maka dengan melengkapkan puasa enam hari dalam bulan Syawal pahalanya sama seperti kita berpuasa setahun.

Berkenaan tatacara berpuasa enam hari Syawal, ada beberapa pandangan ulama. Kebanyakan ulama mazhab al- Syafi'e antaranya Imam Nawawi, berpendapat seseorang yang telah lengkap berpuasa Ramadan perlu menyambung puasanya (enam hari bulan Syawal) secara serta-merta dan berturut-turut setelah merayakan Aidilfitri.