Mahasiswa Malaysia,
Kuliah Syariah, Universiti Al-Azhar,
Tahun 2.
Islam Ad-Din yang syumul merangkumi aspek duniawi dan ukhrawi. Dalam bidang muamalah, Allah telah mensyariatkan jual beli yang halal dan melarang urusniaga berbentuk riba. Firman Allah SWT :
وَأَحَلَّ اللّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا
Maksudnya: “Dan Allah menghalalkan Jualbeli dan mengharamkan riba”
Setiap muslim disarankan agar meneliti setiap urusan muamalah agar tidak terjerumus ke dalam perkara yang haram. Rasulullah amat mengambil berat soal kesucian harta hingga apabila Rasulullah berhijrah ke Madinah, baginda mendirikan pasar khas untuk kaum muslimin yang menjalankan muamalah secara halal kerana melihat pasar Madinah yang sedia ada didominasi oleh golongan Yahudi yang mengamalkan muamalah riba dan unsur-unsur yang haram.
DEFINISI BURSA SAHAM (STOCK EXCHANGE – بورصة الأوراق المالية )
Bursa (bourse/exchange) ialah lokasi berpusat yang menjalankan perdagangan instrumen kewangan. Terdapat pelbagai jenis bursa masa kini, antaranya: bursa komoditi, bursa mata wang asing, bursa opsyen, bursa sekuriti/saham dan sebagainya.
Bursa saham atau bursa sekuriti (stock exchange) ialah sebuah institusi (seumpama pasar) yang menjalankan urusniaga sekuriti di mana ia membentuk pangkalan utama yang memudahkan peredaran harta daripada individu, institusi dan sektor yang pelbagai, yang membantu mengembangkan harta dan menggalakkan pelaburan untuk kepentingan ekonomi.
Kebiasaannya, nama bursa diberikan kepada tempat yang dikhususkan untuk jualbeli sekuriti (sijl-sijil saham, bon dan sebagainya) di mana orang-orang yang bermuamalah dengan sekuriti ini berkumpul di situ untuk membeli atau menjual bon-bon kerajaan atau saham-saham syarikat yang disenaraikan. Biasanya proses jual beli dilakukan dengan perantaraan broker-broker atau orang tengah.
SEJARAH BURSA SAHAM
Perancis merupakan negara kelahiran bursa saham pertama, iaitu pada kurun ke-13 Masihi, di mana berlaku urusniaga bon antara para peniaga hingga Raja Perancis, King Philip (1268-1314M) telah mewujudkan broker mata wang bagi mengusun urusniaga antara para peniaga. Pada masa yang sama, gerakan perniagaan di Baljika memberangsangkan di mana para peniaga di negeri Bruges berhimpun di istana keluarga Van der Bourse untuk menjalankan urusniaga. Perkembangan ini telah menyebabkan mereka mengambil sempena nama keluarga pemilik istana tersebut bagi menggambarkan urusniaga ini hingga akhirnya perkataan Bourse atau Bursa ini digunakan untuk pasaran urusniaga sekuriti.
Perkembangan ini akhirnya menyaksikan penubuhan bursa saham di negara Belanda, Amerika Syarikat dan kebanyakan negara industri pada kurun ke-19 M. Bagi negara Islam pula, bursa saham diperkenalkan oleh negara yang menjajah. Mesir merupakan negara pertama di Timur Tengah yang mempunyai bursa saham iaitu pada akhir kurun ke-19 M. Di Malaysia, aktiviti broker dan syer dijalankan sejak akhir abad ke-19. Pasaran Saham Malaysia yang pertama ditubuhkan pada 1937 di bawah nama pasaran Broker Saham Malaya. Walau bagaimanapun perdagangan tidak dijalankan sehinggalah bulan Mei 1960.
OBJEKTIF DAN KEPENTINGAN BURSA SAHAM
Penubuhan bursa saham mempunyai beberapa objektif, antaranya:
1. Menyediakan tempat pasaran yang membolehkan pihak yang memerlukan modal mendapatkan modal melalui jual beli sekuriti yang disenaraikan
2. Menyediakan perkhidmatan yang bersangkutan urusan pelaburan dan maklumat saham kepada pelabur di samping mewujudkan minat terhadap pasaran sekuriti di kalangan pelabur dan orang awam
Antara kepentingan dan peranan bursa saham terhadap ekonomi ialah:
1. Mencairkan matawang dan menyalurkannya untuk projek-projek pelaburan
2. Memberikan indeks am tentang pergerakan harga, harta dan pelaburan, sekaligus menggambarkan kedudukan ekonomi negara
3. Menyumbang kepada meningkatkan keupayaan ekonomi dengan pelbagai projek pembangunan
4. Medan negara mencapai kestabilan matawang daripada urusniaga sekuriti bagi mengelakkan inflasi
4.0 INSTRUMEN KEWANGAN YANG DIDAGANGKAN DI BURSA SAHAM DAN PANDANGAN ISLAM MENGENAINYA
Terdapat pelbagai instrumen kewangan yang diniagakan di bursa saham, antara yang utama ialah saham dan bon. Instrumen lain seperti : debentur, stok pinjaman, nota pinjaman, sijil pelaburan, unit amanah dan sebagainya. Untuk mengetahui hukum meniagakan instrumen ini, kita perlu menganalisa setiap instrumen ini dalam segenap sudut. Walau bagaimanapun, kertas kerja ini hanya akan menumpukan perbincangan tentang saham dan bon.
4.1 Saham ( الأسهم )
4.1.1 Definisi saham
Saham ialah sejumlah unit pemilikan pelabur dalam syarikat perkongsian/awam, yang berbeza keadaannya dengan jumlah bahagian modal dalam syarikat individu.
Ia juga bermaksud satu transkrip atau sijil yang diberikan kepada pelabur sebagi penyataan haknya yang sebenar dalam pemilikan modal syarikat.
4.1.2 Pandangan Islam terhadap urusniaga saham
Jumhur fuqaha’ muasirin berpendapat bahawa Islam secara umumnya mengharuskan penerbitan dan jual beli saham, dengan syarat tidak mengandungi unsur-unsur yang haram seperti riba, gharar, perniagaan benda yang haram dan unsur-unsur haram yang lain. Oleh itu, hukum sesuatu saham berbeza mengikut sifat saham tersebut dan jenisnya.
4.1.3 Hukum urusniaga saham mengikut jenis aktiviti perniagaan sesuatu syarikat :
a. Syarikat yang aktivitinya halal.
Hukumnya harus bermuamalah dengan saham syarikat ini tanpa sebarang khilaf.
b. Syarikat yang aktivitinya haram.
Seperti bank yang mengamalkan riba, syarikat pembuatan arak dan sebagainya. Hukumnya haram secara ittifaq.
c. Syarikat yang aktivitinya syubhat.
Syarikat yang mengeluarkan perkhidmatan dan barangan yang halal, tetapi kadangkala bermuamalah dengan uruniaga yang haram , seperti syarikat barangan elektrik, ubat-ubatan, kenderaan dan lain-lain yang membiayai aktiviti syarikat dengan pinjaman ribawi atau urusniaga yang melibatkan riba.
Para fuqaha’ mu’asirin berselisih pendapat tentang masalah ini kepada 3 pendapat :
i. Pendapat pertama : Haram bermuamalah dengan saham syarikat ini selagimana tidak 100% halal.
Selagi saham ini mengandungi unsur haram atau syarikat berurusniaga dengan unsur haram, maka saham ini tetap haram berdasarkan dalil-dalil yang mewajibkan menjauhi perkara yang haram dan syubhat :
• Hadith :
عن عامر قال سمعت النعمان بن بشير يقول سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول الحلال بين والحرام بين وبينهما مشبهات لا يعلمها كثير من الناس فمن اتقي المشبهات استبرأ لدينه وعرضه ومن وقع في الشبهات كراع يرعى حول الحمى يوشك أن يواقعه ألا وإن لكل ملك حمى ألا إن حمى الله في أرضه محارمه ألا وإن في الجسد مضغة إذا صلحت صلح الجسد كله وإذا فسدت فسد الجسد كله ألا وهي القلب
• Kaedah fiqh (إذا إجتمع الحلال والحرام غلب الحرام (Berdasarkan kaedah ini, syarikat yang hartanya bercampur antara halal dan haram, maka haram menyertainya sebagai berhati-hati (ihtiat) kerana diriwayatkan Nabi Muhammad menjumpai buah yang jatuh dan berkata: “ Kalaulah tidak kerana aku takut ia daripada sedekah, nescaya aku memakannya.”
• Kaedah fiqh ( الملحوظ كالملفوظ )
ii. Pendapat kedua : Harus bermuamalah dengan saham ni tetapi dengan syarat, berdasarkan kaedah fiqh dan nas yang terbina di atas asas memudahkan dan mengangkat kesusahan . Antaranya :
• Bercampur sebahagian yang haram dengan harta tidak menjadikan kesemuanya haram , dengan membezakan haram lizatih seperti arak, dan haram lighairih seperti harta yang dirampas,harta ini (haram lighairih) tidak menjadikan harta yang lain menjadi haram.
Ibnu Taimiyah pernah ditanya oleh seorang lelaki tentang hartanya yang bercampur di antara yang halal dan haram. Beliau menjawab : Keluarkan nilai yang haram dengan timbangan, dan berikan kepada pemiliknya dan kiralah nilai yang halal itu untuk dirinya.Sekiranya tidak diketahui atau tidak mampu untuk mengetahui pemiliknya, maka bersedekahlah dengan harta itu.
Atas prinsip inilah harus bermuamalah dengan saham syarikat yang bermuamalah dengan bank yang mengamalkan riba.
• Kaedah fiqh ( يجوز تبعا ما لا يجوز استقلالا (
Di dalam syarikat ini walaupun memiliki nisbah sedikit unsur yang haram, tetapi ia dalam bentuk tabi’ (mengikut) bukan asas yang menjadi tujuan selagi mana aktiviti syarikat halal , cuma syarikat itu terpaksa meminjam atau menyimpan di dalam bank ribawi untuk mendapat kecairan harta.
Aktiviti meminjam atau menyimpan di bank ribawi ini adalah haram dan pengurusan syarikat berdosa tetapi ia tidak menjadikan baki harta dan aktiviti lain menjadi haram kerana ia aktiviti yang mengikut ( تبعي ), dan bukan dasar aktiviti syarikat.
• Kaedah fiqh ( للأكثر حكم الكل )
Al-Kasani mengatakan : “ Setiap yang dirosakkan oleh perkara haram, sekiranya majoritinya yang halal makan tidak mengapa menjualnya.”
Imam Al- Izz bin Abdul Salam berkata :”Sekiranya majoritinya halal seperti bercampur satu dirham yang haram dengan seribu yang halal maka harus muamalah..”
• Kaedah fiqh (الحاجة تنزل منزلة الضرورة )
Syariat Islam terbina atas asas mengangkat kemudaratan dan kesusahan. Beberapa jenis akad diharuskan khilaf daripada qias kerana hajat manusia kepadanya sebagaimana sebahagian ulama’ contohnya Hanafiah mengharuskan muamalat yang asalnya haram seperti bai’ al-wafa’.
• Harus bermuamalah dengan non-muslim sedangkan wujud syubhat pada hartanya.Sebahagian fuqaha’ mengatakan harus dan makruh, kerana tidak aman daripada muamalah riba dan perkara lain yang tidak syar’ie.Harus muamalah ini jika tidak melibatkan muamalah yang tidak syar’ie. Ertinya haram atau harus muamalah ini bergantung kepada adanya ‘illah atau tidak.
iii. Pendapat ketiga : Makruh
• Berdasarkan pendapat As-Syafie , Imam Ahmad dan lain-lain
Imam Nawawi menyebut daripada Ibnu Munzir bahawa mereka khilaf dalam masalah jualbeli dengan orang yang hartanya bercampur halal dan haram, menerima hadiah dan pemberiannya, di mana Hasan, Makhul , Az-Zuhri dan As-Syafie memberi rukhsoh. Syafie berkata : Aku tidak suka demikian. Dan sekelompok yang lain menyatakan makruh.
Imam Ahmad berkata: Aku tidak ingin memakannya, kerana diriwayatkan An-Nu’man bin Basyir bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Yang halal itu jelas, dan yang haram itu jelas dan di antara keduanya perkara-perkara syubhat yang tidak diketahui oleh kebanyakan menusia.Siapa mengelak dari perkara syubhat dia telah membebaskan agama dan kehormatannya…..”
Dan Nabi pernah bersabda: “ Tinggalkanlah apa yang meragukan kepada apa yang tidak meragukan “
Pendapat yang rajih :
Berdasarkan ketiga-tiga pendapat tadi, pendapat yang rajih ialah pengurusan syarikat tidak harus bermuamalah dengan urusniaga haram melainkan terpaksa contohnya dia terpaksa mengikut undang-undang muamalat tertentu yang haram, tetapi bukan dengan kerelaannya , jika tidak dia berdosa. Manakala penyertaan orang Islam dalam syarikat dan membeli sahamnya adalah harus selagimana sebahagian besar hartanya halal dan transaksinya halal, jika tidak, sebaik-baiknya menjauhi perbuatan tersebut.
Sepatutnya orang yang menyertai syarikat tersebut berniat dengan membeli saham syarikat itu, dia akan menukar aktiviti syarikat itu kepada 100% halal dengan menyatakan suaranya dalam mesyuarat agung tahunan atau mesyuarat pengurusan syarikat, dan dia juga perlu mengeluarkan kadar yang haram –jika berkemampuan menetapkannya- dan membelanjakan kadar tersebut itu untuk kebajikan awam, tetapi tidak harus bagi seorang muslim mengasaskan atau membeli saham syarikat yang telah menaskan dalam sistem asasinya bahawa syarikat itu bermuamalah dengan riba, arak, khinzir dan lain-lain muamalah yang diharamkan.
Walaupun begitu, penulis bersetuju dengan pendapat yang mengatakan perlu adanya beberapa syarat dalam menentukan boleh atau tidaknya bermuamalah dengan syarikat tersebut :
• Pendapat Sheikh Mustafa Al-Zarqa mengatakan harus bermuamalah dengan saham syarikat ini sekiranya syarikat itu aktif memberi khidmat kepada orang awam, dan kemusnahan syarikat ini akan menyebabkan kepayahan masyarakat, bukan umum kepada semua syarikat.Malah haram bermuamalah dengan syarikat yang bermuamalah dengan riba sekiranya syarikat itu tidak aktif dan masyarakat tidak terjejas dengan kemusnahannya.
• Tujuan pembelian saham syarikat itu adalah untuk mengubah ke arah halal 100%. Sekiranya mereka mampu tetapi tidak melakukannya, maka mereka adalah berdosa.
• Tidak harus mereka menggunakan wang haram yang menjadi pendapatan syarikat, bahkan mesti menilaikan dan menghilangkannya dengan cara memberikan kepada fakir miskin.
• Aktiviti asas syarikat adalah halal.
Oleh itu, pengharusan ini adalah kerana dorurat dan dorurat ini mestilah berdasarkan kepada syarat –syarat tadi dan tidak boleh melangkaui batas dorurat kerana dorurat diukur mengikut kadar keperluannya الضرورات تقدر بقدرها . Jika tidak mencapai tahap dorurat , maka hukumnya haram.
4.1.4 Jenis-jenis Nilai / Harga saham dan Hukumnya
a. Nilai catatan (القيمة الإسمية ) : iaitu nilai yang tercatat pada sijil, merupakan nilai yang dibayar pelabur ketika pengasasan syarikat.Hukum : Harus menerbitkan saham dengan nilai ini kerana ia menggambarkan nilai saham yang dibayar oleh pelabur daripada keseluruhan modal syarikat.
b. Nilai terbitan (قيمة الإصدار) : iaitu nilai penerbitan saham baru ketika syarikat ingin menambah modal syarikat.
Hukum : Harus sekiranya nilai terbitan sama dengan nilai sebenar atau nilai pasaran. Harus juga menerbitkan saham baru dengan nilai terbitan sama ada lebih tinggi, kurang atau sama dengan nilai catatan , kerana perlu melihat kepada realiti semasa , suasana pasaran dan risiko untung rugi. Tetapi tidak harus sekiranya kurang daripada nilai sebenar kerana akan menyebabkan kemudaratan kepada pelabur lama. Jika lebih tinggi daripada nilai sebanar, maka dinilaikan mengikut harga pasaran meka hukumnya harus.
c. Nilai sebenar / instrinsik(الفيمة الحقيقية) : iaitu bahagian yang sebenarnya dimiliki daripada harta bersih syarikat termasuk modal yang dibayar, keuntungan,harta benda syarikat,setelah ditolak hutangnya. Hukum : harus kerana keuntungan dan harta benda syarikat bertambah hingga menyebabkan nilai sebenar lebih tinggi daripada nilai catatan, dengan syaat pertambahan harta itu melalui cara yang halal.
d. Nilai pasaran (القيمة السوقية) : iaitu nilai saham di bursa saham yang mengikut pemintaan dan penawaran , spekulasi ,suasana politik dan ekonomi semasa serta kebiasaannya berubah-ubah. Hukum : harus menjual saham mengikut harga pasaran sama ada kurang atau lebih daripada nilai catatan kerana ia seumpama barangan lain yang terdedah kepada faktor permintaan dan penawaran serta kewangan syarikat.
4.1.5 Jenis-jenis Saham Mengikut Kategori dan Hukumnya
a. Dari Sudut Hak Pelabur
i. Saham Biasa ( Ordinary Shares الأسهم العادية - ) : iaitu saham yang memberi pemiliknya persamaan hak mendapat keuntungan setelah dibahagikan keuntungan saham keutamaan. Pemilik saham ini mempunyai hak mengundi dalam mesyuarat agung syarikat, hak melantik proksi, hak mendapat terbitan hak, hak terhadap aset dan hak membuka buku akaun. Pemilik saham ini akan dipertanggungjawabkan berdasarkan nilai saham yang dipegang dalam syarikat.
Saham ini hukumnya harus selagimana pelaburan syarikat bukan pada aktiviti yang haram.
ii. Saham Keutamaan (Preference Shares-الأسهم الممتازة ) : iaitu saham yang memberikan keistimewaan/ keutamaan kepada pemiliknya berbanding pemilik saham biasa.
Antara keistimewaannya ialah :
• Keutamaan dari sudut tuntutan perolehan syarikat. Pemegang saham keutamaan akan dibayar dividen terlebih dahulu dan dividennya telah ditetapkan terlebih dahulu kadarnya pada masa ia diterbitkan, tidak kira syarikat untung atau rugi
• Sekiranya syarikat dibubarkan ,pemegang saham keutamaan akan diutamakan dalam pengagihan aset syarikat berbanding pemegang saham biasa
• Kuasa mengundi yang lebih dalam mesyuarat tahunan (di Malaysia, pemilik saham ini tidak mempunyai kuasa mengundi).
Saham ini hukumnya tidak harus kerana pemilik saham ini mempunyai kelebihan berbanding pemegang saham lain. Ini tidak adil kerana dengan nilai saham yang sama sepatutnya mereka memiliki persamaan hak. Begitu juga tidak harus memberikan dividen atau keuntungan yang tetap kepada mereka dalam keadaan risiko keuntungan dan kerugian ditanggung oleh pelabur lain.
Dividen ini merupakan riba yang diharamkan oleh syara’ kerana bertentangan konsep syarikat yang diharuskan oleh syara’, iaitu sama-sama menanggung risiko untung rugi berdasarkan kadar saham masing-masing. Hak mengundi yang lebih juga tidak harus diberikan kepada mereka kerana sepatutnya pemegang saham yang sama nilainya mesti mempunyai hak yang sama.
Bentuk keistimewaan yang diharuskan oleh syara’ ialah hak keutamaan kepada pelabur sedia ada untuk menambah pelaburan apabila syarikat menawarkan saham-saham baru berbanding pelabur-pelabur yang baru. Ini kerana mereka lebih berhak terhadap pemilikan syarikat dan tidak harus syarikat mengeluarkan saham baru kecuali dengan persetujuan mereka. Ini sesuai dengan prinsip syaf’ah yang diakui oleh syara’.
--
b. Dari sudut bentuk pemilikan yang dibayar pelabur
i. Matawang/tunai (Cash Shares – الأسهم النقدية ) : iaitu saham yang dibayar dalam bentuk mata wang. Saham ini hukumnya harus secara ittifaq kerana asal dalam syarikat ialah mengemukakan modal dalam bentuk matawang, sama ada emas, perak atau mata wang masakini.
ii. Barangan (Vendors Sharesالأسهم المعينة-) : iaitu saham yang berbentuk barangan yang menjadi modal syarikat
Para fuqaha’ berselisih pendapat tentang saham ini kepada 3 pendapat :
• Ulama’ Malikiah dan satu pendapat Imam Ahmad : Harus jika barang berbentuk qiymi.
• As-Syafi’e dan Muhamad bin Hasan dari ulama’ Hanafiah : Harus jika barang berbentuk mithli.
• Imam Abu Hanifah dan zahir mazhab Hambali : Tidak harus secara mutlak
Pendapat yang rajih : ialah pendapat yang pertama kerana pendapat yang kedua dan ketiga melihat dari sudut zat barang dan tidak terjamin selagi tidak digunakan. Pendapat pertama mengatakan harus setelah dipersetujui barang dan nilainya. Dengan itu, nilai itu menjadi modal syarikat dan terjamin. Apatah lagi pada zaman sekarang, banyak cara untuk menilai harga barangan dengan lebih tepat iaitu dengan nilai mata wang.
c. Dari Sudut bentuk Sijil
i. Saham Penama (Nominal Shares – الأسهم الإسمية) : iaitu sijil yang tercatat nama pemiliknya
Saham ini hukumnya harus dari sudut syara’ kerana pemilikan hak pelabur thabit dengan tertulis di atas sijil saham.
ii. Saham Pembawa ( Bearer Shares – الأسهم لحاملها ) : Sijil yang tidak dicatat nama pelabur yang menjadi pemiliknya , tetapi pembawanya. Oleh itu pembawa sijil itu dikira pemilik saham mengikut pandangan syarikat.
Saham ini tidak harus dari sudut syara’ kerana tidak diketahui pemilik sebenar saham tersebut. Ini akan membawa kepada risiko perselisihan, permusuhan dan kemungkinan kehilangan hak serta mudarat kepada pemiliknya sama ada dirampas atau dicuri.
iii. Saham Dengan Perintah (An Order Shares الأسهم للأمر او الإذن -): saham yang mengandungi perkataan dengan perintah. Saham ini boleh ditandatangani untuk tujuan perpindahan milik, sama seperti sjil-sijil bon yang memakai syarat ‘dengan perintah’.
Saham ini mengikut pendapat Dr Abd Aziz Khayyat adalah harus kerana pemilik saham tersebut masih dapat dikenalpasti kerana ditulis di atas sijil saham. Pemilik kedua dikira pengganti kepada pemilik pertama.
e. Dari sudut modal boleh ditebus/dipulangkan atau tidak
i. Saham Modal ( Capital Shares – أسهم رأس المال): saham yang nilainya tidak boleh ditebus. Saham ini harus kerana merupakan prinsip asal dalam syarikat.
ii. Saham Boleh Tebus ( Redeemable Shares – أسهم التمتع) : saham yang boleh ditebus dengan dipulangkan semula modal kepada pelabur sebelum syarikat ditutup.
Pada asalnya tidak harus bagi pelabur menebus sahamnya. Namun, terdapat beberapa keadaan yang berbeza yang menentukan sama ada saham tersebut harus atau tidak.
Antara bentuk saham boleh tebus yang tidak harus ialah :
• Jika nilai sebenar saham dikembalikan sama ada lebih tinggi atau lebih rendah daripada nilai catatan. Ini kerana hubungan pelabur dengan syarikat terputus, maka dia tidak berhak mendapat keuntungan atau dipertanggungjawabkan terhadap sebarang kerugian
• Jika dipulangkan nilai catatan dan nilai itu lebih tinggi daripada nilai sebenar saham kerana dia mendapat modal yang dibayar secara sempurna. Dalam hal ini ,sama seperti di atas, dia tidak berhak mendapat keuntungan kerana hubungannya dengan syarikat telah terputus.
Keuntungan syarikat berhak dimiliki dengan 3 sebab : harta, kerja atau jaminan. Dalam 2 bentuk saham boleh tebus di atas, pemegang saham yang telah menebus sahamnya tidak mempunyai satu pun sebab mendapat keuntungan syarikat .
Bentuk saham boleh tebus yang harus ialah :
• Syarikat memberikan nilai catatan saham yang lebih rendah daripada nilai sebenar, maka masih berbaki modalnya di dalam syarikat. Dengan itu, dia berhak mendapat keuntungan berdasarkan nisbah baki modal yang masih belum dipulangkan oleh syarikat.
• Penawaran secara berjuzu’ dan berterusan oleh syarikat dengan memberikan setiap pelabur nisbah tertentu daripada saham secara sama rata dan mengikut bilangan saham.
• Memotong nilai tertentu daripada keuntungan tahunan dan menyimpannya atas nama pelabur,hingga nilainya terkumpul ketika berakhirnya syarikat, lalu pelabur boleh mengambilnya.
4.2 Bon (السندات)
4.2.1 Definisi Bon
Bon ialah instrumen hutang jangka panjang yang penerbitnya berjanji untuk membayar pokok pada tarikh matang dan membayar kupon secara berkala.
Oleh kerana bon merupakan hutang penerbitnya, maka pemegang bon dikira pemiutang, bukan pemilik. Bon merupakan salah satu sekuriti hutang jangka panjang, di mana tempoh matangnya adalah melebihi satu tahun.
4.2.2 Perbezaan bon dengan saham
Saham Bon
1. Sekuriti yang merupakan sebahagian daripada modal syarikat. 1. Sekuriti yang merupakan sebahagian daripada hutang syarikat.
2. Pemegangnya adalah rakan kongsi. 2. Pemegangnya adalah pemiutang bukan rakan kongsi.
3. Diterbitkan sebelum pengasasan syarikat dan selepasnya. 3. Diterbitkan selepas pengasasan syarikat.
4. Setiap syarikat awam mempunyai saham. 4. Tidak semestinya semua syarikat menerbitkan bon.
5. Pemegang saham berhak hadir dan bersuara dalam mesyuarat agung tahunan syarikat. 5. Pemegang bon tidak berhak hadir dan bersuara dalam mesyuarat agung tahunan syarikat.
6. Pemegang saham berisiko untuk kehilangan bahagiannya apabila syarikat muflis. 6. Pemegang bon tidak berisiko kerana bahagiannya terjamin.
7. Pemegang saham berhak mendapat keuntungan yang berubah-ubah mengikut keuntungan syarikat. 7. Pemegang bon berhak mendapat faedah yang tetap dan tidak berubah sama ada syarikat untung atau rugi.
8. Tidak dikembalikan nilainya melainkan apabila syarikat dibubarkan. 8. Bon mempunyai waktu yang ditetapkan untuk tuntutan nilai.
9. Penerbitan saham kaedah pembiayaan daripada pemodal syarikat. 9. Penerbitan bon kaedah pembiayaan dengan cara peminjaman daripada pihak lain.
4.2.4 Pandangan Islam Terhadap Bon
Oleh kerana bon termasuk dalam kategori pinjaman atau hutang, maka penentuan hukum mestilah melihat kepada hukum qardh dalam fiqh Islam.
Qardh dalam fiqh bererti ialah meminjamkan sejumlah harta kepada orang yang berhajat untuk memanfaatkannya dan dipulangkan gantinya. Hukum qardh pada asalnya ialah sunat bagi yang memberi pinjaman dan harus bagi yang meminjam. Bagaimanapun haram pemiutang mengambil tambahan manfaat daripada pinjaman yang diberikan, dan sebarang bayaran tambahan yang dikenakan kepada pinjaman tersebut dikira riba. Oleh sebab itu, bon menjadi haram kerana pertambahan faedah dalam urusniaga bon terhimpun padanya ciri-ciri riba hutang yang tiga iaitu: hutang, bertempoh dan pertambahan hutang disyaratkan berdasarkan pertambahan tempoh.
Hukum riba adalah haram secara ijma’ berdalilkan ayat Al-Quran dan hadith yang banyak. Antaranya :
a. Firman Allah :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ اتَّقُواْ اللّهَ وَذَرُواْ مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ{278} فَإِن لَّمْ تَفْعَلُواْ فَأْذَنُواْ بِحَرْبٍ مِّنَ اللّهِ وَرَسُولِهِ وَإِن تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُؤُوسُ أَمْوَالِكُمْ لاَ تَظْلِمُونَ وَلاَ تُظْلَمُونَ{ 279
Maksudnya :”Hai orang-orang beriman,bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman.maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba) maka ketahuilah bahawa Allah dan RasulNya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba) maka bagimu hartamu, kami tidak akan menaniaya dan tidak (pula) dianiaya.”
b. Hadith sohih :
ما رواه مسلم عن جابر قال : لعن رسول الله آكل الربا و موكله وكاتبه وشاهديه ، وقال : هم سواء.
Maksudnya :”Diriwayatkan oleh Muslim dariapda Jabir bahawa Rasulullah melaknat pemakan riba, orang yang mewakilkan, penulisnya dan saksinya. Baginda bersabda: Mereka adalah sama.”
Para ulama’ ijma’ mengatakan sebarang pinjaman yang mensyaratkan pertambahan manfaat dikira riba berdasarkan kepada hadith :
روي الحارث بن أسامة من حديث علي رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم نهى عن قرض جرى منفعة .
وفي رواية :"كل قرض جر منفعة فهو ربا ".
Maksudnya :Al-Harith bin Usamah meriwayatkan daripada hadith Ali r.a. bahawa Nabi Muhammad SAW melarang daripada pinjaman yang mengambil manfaat. Dalam satu riwayat : “ Setiap pinjaman yang ada manfaat adalah riba”.
Hadith ini walaupun dhoif, para ulama’ ijma’ mengatakan beramal dengan hadith ini. Hadith ini dikuatkan beberapa hadith mauquf daripada Ibnu Mas’ud, Ubai bin Kaab, Abdullah bin Salam dan Ibnu Abbas bahawa mereka melarang daripada pinjaman yang mengambil faedah.
Ketetapan Majma’ Fiqh Islami di Jeddah dalam Daurah keenam berkenaan bon ialah :
“Bon yang mewajibkan pembayaran nilai muka beserta pembayaran faedah atau manfaat yang disyaratkan adalah haram dari sudut syara’ sama ada menerbitkannya, membeli atau menjual semula, kerana ia adalah pinjaman ribawi sama ada penerbitnya sector swasta atau awam yang berkait dengan kerajaan, atau menamakan faedah tetap ribawi itu dengan nama keuntungan, komisen atau pendapatan.”
No comments:
Post a Comment