MADDAH GENOME - KULIAH SYARIAH, UNIVERSITI AL-AZHAR.
1.0 MUQADDIMAH
Sifat keibuan adalah naluri yang Allah anugerahkan bagi setiap diri wanita. Bahkan mendapat zuriat adalah antara tujuan perkahwinan disyariatkan oleh Alalh SWT. Allah berfirman dalam Al-Quran :
المال و البنون زينة الحياة الدنيا
Maksudnya: “ Harta dan anak-anak adalah perhiasan hidup di dunia”
Namun, takdir Allah SWT untuk menguji hamba-hambaNya dengan menjadikan suami isteri tidak memperolehi anak setelah mendirikan rumahtangga dalam jaangka masa yang lama. Allah menjelaskan keadaan ini dalam firmanNya,
ويجعل من يشاء عقيما
Maksudnya : “ Dijadikan sesiapa yang dikehendakinya tidak memperolehi anak (mandul)”
Kemandulan, walaupun merupakan takdir Allah SWT dianggap sebagai suatu penyakit kerana ia bertentangan dengan keadaan yang normal. Maka usaha untuk mengubati penyakit merupakan perkara yang dituntut oleh syara’ selagi mana cara yang digunakan tidak bertentangan dengan kehendak syara’. Perkembangan sains dalam bidang perubatan telah menemukan pelbagai cara untuk mengatasi masalah kemandulan, yang natijahnya manusia boleh memiliki anak bukan dengan cara tabi’ie iaitu melalui hubungan suami isteri. Di antara cara yang telah ditemui oleh para pengkaji perubatan ialah kaedah PENYEWAAN RAHIM yang begitu tersebar di Barat.
Namun, selaku umat Islam, kita perlu mengenalpasti sama ada kaedah ini menepati syara’ atau sebaliknya kerana ia merupakan masalah ijtihadiyah yang tidak mempunyai nas yang jelas tentang pengharaman atau pengharusannya. Penggunaan kaedah penyewaan rahim ini akan membantu wanita yang mandul atau wanita yang tidak boleh mengandung kerana sebab-sebab tertentu untuk memiliki anak, dalam masa yang sama bidang perubatan dalam kehidupan seorang muslim perlu berpandukan kepada kaedah syara’ yang menitik beratkan maqasid as-syariah untuk memelihara kesucian nasab dan mengelakkan dari percampuran, serta menjaga kemuliaan anak Adam Justeru, kertas kerja ini cuba manyingkap persoalan penyewaan rahim dari sudut hakikat sewa rahim, sebab atau tujuannya, bentuk-bentuknya, dan pandangan ulama’ Islam semasa bersandarkan nas umum dan qa’iedah fiqhiyyah al-kulliyah.
2.0 TAKRIF SEWA RAHIM
Takrif sewa rahim (atau ibu tumpang):Menggunakan rahim wanita lain untuk mengandungkan benih wanita (ovum) yang telah disenyawakan dengan benih lelaki (sperma) (yang kebiasaannya suami isteri), dan janin itu dikandung oleh wanita tersebut sehingga dilahirkan. Kemudian anak itu diberikan semula kepada pasangan suami isteri itu untuk memeliharanya dan anak tersebut dikira anak mereka dari sudut undang-undang .
Kaedah ini dikenali dengan sewa rahim kerana lazimnya pasangan suami isteri yang ingin memiliki anak ini akan membayar sejumlah wang kepada ibu tumpang atau syarikat yang menguruskan kerja mencari ibu tumpang yang sanggup mengandungkan anak percantuman benih mereka dan dengan syarat ibu tumpang tersebut akan menyerahkan anak tersebut setelah dilahirkan atau pada masa yang dijanjikan.
Kaedah ini termasuk dalam ruang lingkup kaedah persenyawaan luar rahim
( التلقيح الصطناعي الخارجي ) yang lebih dikenali sebagai bayi tabung uji (invitro fertilization atau طفل الأنابيب ). Kaedah bayi tabung uji lebih umum kerana sperma suami atau lelaki lain disenyawakan dengan ovum isteri atau wanita lain di dalam radas makmal, kemudian benih yang telah disenyawakan tadi dimasukkan semula ke dalam rahim isteri atau wanita lain, manakala kaedah penyewaan rahim lebih khusus hanya kepada yang melibatkan penyewaan rahim wanita lain sebagai pihak yang ketiga (bukan isteri) dan kebiasaannya benih yang dimasukkan ialah benih suami isteri.
Penyewaan rahim dalam bahasa Arab dikenali dengan pelbagai nama, antaranya الحاضنة ،المستأجر، الأم البديلة ، الأم المستأجرة، الرحم المستعار، الأم الكاذبة ، شتل الجنين atau تأجير الأرحام tetapi lebih dikenali sebagai الرحم المستأجر atau الأم البديلة , manakala dalam bahasa Inggeris pula dikenali sebagai ‘surrogate mother’.
3.0 SEBAB ATAU TUJUAN PENYEWAAN RAHIM
Terdapat beberapa sebab yang akan menyebabkan sewa rahim dilakukan, antaranya:
3.1 Seseorang wanita tidak mempunyai harapan untuk mengandung secara biasa kerana ditimpa penyakit atau kecacatan yang menghalangnya dari mengandung dan melahirkan anak
3.2 Rahim wanita tersebut dibuang kerana pembedahan
3.3 Wanita tersebut ingin memiliki anak tetapi tidak mahu memikul bebanan kehamilan, melahirkan dan menyusukan anak dan ingin menjaga kecantikan tubuh badannya dengan mengelakkan dari terkesan akibat kehamilan
3.4 Wanita yang ingin memiliki anak tetapi telah putus haid (menopause)
3.5 Wanita yang ingin mencari pendapatan dengan menyewa rahimnya kepada orang lain
4.0 BENTUK-BENTUK PENYEWAAN RAHIM
4.1 Bentuk pertama:
Benih isteri (ovum) disenyawakan dengan benih suami(sperma), kemudian dimasukkan ke dalam rahim wanita lain. Kaedah ini digunakan dalam keadaan isteri memiliki benih yang baik , tetapi tetapi rahimnya dibuang kerana pembedahan , kecacatan yang teruk, akibat penyakit yang kronik atau sebab-sebab yang lain.
4.2 Bentuk kedua:
Sama dengan bentuk yang pertama, kecuali benih yang telah disenyawakan dibekukan dan dimasukkan ke dalam rahim ibu tumpang selepas kematian pasangan suami isteri itu.
4.3 Bentuk ketiga:
Ovum isteri disenyawakan dengan sperma lelaki lain (bukan suaminya) dan dimasukkan ke dalam rahim wanita lain.Keadaan ini apabila suami mandul dan isteri ada halangan atau kecacatan pada rahimnya tetapi benih isteri dalam keadaan baik.
4.4 Bentuk keempat:
Sperma suami disenyawakan dengan ovum wanita lain , kemudian dimasukkan ke dalam rahim wanita lain. Keadaan ini berlaku apabila isteri ditimpa penyakit pada ovari dan rahimnya tidak mampu memikul tugas kehamilan, atau isteri telah mencapai tahap putus haid (menopause).
4.5 Bentuk Kelima :
Sperma suami dan ovum isteri disenyawakan , kemudian dimasukkan ke dalam rahim isteri yang lain dari suami yang sama. Dalam keadaan ini isteri yang lain sanggup mengandungkan anak suaminya dari isteri yang tidak boleh hamil.
5.0 PANDANGAN ULAMA’ TENTANG PENYEWAAN RAHIM
5.1 Para Ulama’ bersepakat tentang pengharaman sewa rahim dalam keadaan berikut :
5.1.1 menggunakan rahim wanita lain selain isteri
5.1.2 percampuran benih antara suami dan wanita lain
5.1.3 percampuran benih isteri dengan lelaki lain,
5.1.4 atau memasukkan benih yang disenyawakan selepas kematian suami isteri,
melainkan satu bentuk penyewaan rahim yang ulama’ berselisih pendapat tentang pengharusannya yang akan dibincangkan nanti.
5.2 Berikut adalah ketetapan dan fatwa ulama’ berkenaan penyewaan rahim:
5.2.1 Ketetapan المجمع الفقهي لرابطة العالم الاسلامي dalam Daurah kelapan di Makkatul Mukarramah, menjelaskan fatwa berkaitan perkara ini , iaitu:
“Persenyawaan luar rahim yang dilakukan pada benih suami isteri , kemudian dikembalikan ke dalam rahim isteri adalah uslub yang diterima dari segi prinsipnya tetapi tidak selamat dari keraguan dalam perlaksanaannya. Oleh itu, tidak wajar untuk menggunakan kaedah ini melainkan ketika darurat yang sangat menuntut dan dengan memenuhi syarat-syarat berikut:
(i) Persenyawaan dilakukan dengan mani suami
(ii) Dilakukan semasa hayat suami dan bukan selepas kematiannya
(iii) Dilaksanakan oleh doctor muslim yang dipercayai
(iv) Dipersetujui oleh kedua-dua pasangan suami isteri”
5.2.2 Ketetapan مجمع البحوث الاسلامية no 1 dalam jilsahnya bertarikh 29/3/2001 mengatakan, “Penyewaan rahim adalah haram dan ditegah oleh syara’.”
5.2.3 Nadwah الانجاب في ضوء الاسلام , satu fatwa khusus dikeluarkan berkenaan pernyewaan rahim,
“Penyewaan rahim adalah haram jika wujud pihak ketiga sama ada mani(sperma), ovum wanita, janin atau rahim.”
5.2.4 Di dalam ندوة المنظمة الاسلامية للعلوم الطبية , para fuqaha’ muasarah bersepakat tentang pengharaman penyewaan rahim.
5.2.5 Sheikh Mahmud Shaltut berpendapat:
“Persenyawaan benih wanita dengan benih lelaki ajnabi pada sisi syariah adalah jenayah mungkar dan berdosa besar seumpama zina pada sudut prinsip dan kesannya yang sama iaitu meletakkan mani lelaki ajnabi dengan niat mendapat anak sedangkan antara wanita dan lelaki itu tiada ikatan perkahwinan.”
5.3 Pengharaman penyewaan rahim adalah kerana ia membawa banyak keburukan dan kesan kepada masyarakat berbanding manfaat yang diperolehi dan bertentangan dengan maqasid as-syariah , antaranya:
5.3.1 Membawa penghinaan kepada kemuliaan wanita sebagai manusia yang telah dimuliakan oleh Allah dan terdedah kepada perniagaan seumpama barangan yang boleh dijual beli.Di Barat, tersebar luas wakil-wakil khusus untuk penyewaan rahim seolah-olah rahim diperniagakan untuk keuntungan kebendaan semata-mata. Ini bertentangan dengan konsep akhlak Islam yang mengiktiraf persamaan dan kebebasan di kalangan manusia. Ia juga akan memudaratkan wanita natijah keadaan ekonomi dan kemasyarakatan yang fasad.
Firman Allah SWT :
ولقد كرمنا بني آدم وحملناهم في البر والبحر ورزقناكم من الطيبات وفضلناهم على كثير ممن خلقنا تفضيلا
Maksudnya: “Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkat mereka di daratan dan lautan, Kami beri mereka rezeki dari yang baik—baik dan kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang kami ciptakan.’
5.3.2 Menjatuhkan maruah dan kemuliaan seorang wanita sekiranya perbuatan ini turut dikategorikan sebagai zina sedangkan memelihara maruah itu adalah tuntutan syara’. Namun , terdapat perbezaan antara zina dan penyewaan rahim kerana zina melibatkan hubungan jenis antara lelaki dan wanita dan selalunya penzina cuba mengelak dari mendapat anak berbeza dengan penyewaan rahim. Walau bagaimanapun, perkara ini tetap tidak lari dari lingkungan perbuatan yang diharamkan oleh syara’kerana akan membawa kepada percampuran nasab.Ini adalah kerana tidak wujud hubungan antara suami pemilik benih dengan ibu tumpang tersebut.
5.3.3 Kaedah ini telah mengubah sifat keibuan lari daripada konsep ibu sebenar sepertimana yang berlangsung sejak awal kewujudan manusia. Seorang ibu pada dasarnya bukan setakat memiliki benih yang mewariskan sifat-sifat dirinya, bahkan memikul tanggungjawab mengandung, melahirkan,menyusukan dan memelihara anak tersebut. Kini wujud 2 kategori ibu iaitu ibu dari sudut biologi dan ibu yang mengandung anak. Kesannya, ia akan membuka ruang untuk wanita sewenang-wenangnya melepaskan diri daripada tanggungjawab keibuan sebenar yang menanggung kesakitan dan kesusahan semasa mengandung dan melahirkan serta membolehkannya untuk memperolehi anak dengan cara yang mudah sekiranya memiliki kemampuan dari sudut material.
Bahkan, seseorang berkemungkinan boleh memiliki anak yang ramai dalam masa yang singkat jika pada setiap bulan, satu benih disenyawakan dan dimasukkan ke dalam ibu tumpang yang berbeza-beza, dalam masa setahun, pasangan itu boleh memiliki 12 orang anak! Ini sama sekali bertentangan dengan prinsip Islam yang meletakkan keutamaan ibu lebih berbanding bapa 3 kali ganda dan hak memelihara anak selepas perceraian kepada ibu sebagai menghormati dan menghargai pengorbanan ibu mengandung, melahirkan, menyusukan dan membesarkan anak yang tiada tolok bandingnya.
Firman Allah SWT :
ووصينا الانسان بوالديه حملته أمه وهنا على وهن
Maksudnya : “ Dan kami perintahkan kepada manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya yang mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah”
5.3.4 Sekiranya ibu tumpang ini adalah wanita yang belum berkahwin tetapi dia menyewakan rahimnya dan hamil, perkara ini pasti akan menyebabkan berleluasanya kemungkaran dalam masyarakat.
Firman Allah SWT :
ان الذين يحبون أن تشيع الفاحشة في الذين آمنوا لهم عذاب اليم في الدنيا والآخرة والله يعلم وأنتم لا تعلمون
Maksudnya: “ Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar tersebar berita perbuatan yang amat keji tersebar di kalangan orang-orang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan akhirat. Dan Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.”
5.3.4 Pada pandangan Islam, rahim wanita mempunyai kehormatan yang tinggi dan bukan barang hinaan yang boleh disewa atau dijualbeli, kerana rahim adalah anggota manusia yang mempunyai hubungan yang kuat dengan naluri dan perasaan semasa hamil berbeza dengan tangan dan kaki yang digunakan untuk bekerja dan seumpamanya yang tidak melibatkan perasaan. Lebih-lebih lagi ia termasuk dalam lingkungan yang diharamkan kerana manusia tidak berhak menyewakan rahimnya yang akan melibatkan penentuan nasab. Selain itu, wasilah mendapat anak adalah hak Allah SWT dan menyewa rahim termasuk pada bahagian faraj sedangkan
الأصل في الفروج الحرمة .
5.3.7 Antara syarat sah sesuatu akad ialah tidak membawa kepada permusuhan antara kedua-dua pihak yang melakukan akad . Dalam penyewaan rahim ini, diyakini akan berlakunya berselisihan dalam penentuan hak pemilikan dan nasab anak yang dilahirkan kerana wujudnya pihak ketiga selain suami dan isteri pemilik benih. Masalah akan berlaku dalam menentukan ibu sebenar bagi bayi tersebut, sama ada ibu pemilik benih dan ciri-ciri warisan pada anak atau ibu yang mengandung serta melahirkannya, jua masalah menentukan nasab bayi kepada bapanya dan lain-lain.
Malah, akan berlaku kecelaruan dalam masyarakat , khususnya apabila ibu tumpang tersebut enggan menyerahkan bayi yang telah dikandungnya dan menafikan perjanjian asal sekalipun dibayar secara sempurna oleh pihak pasangan suami isteri itu. Ini kerana ibu tumpang tersebut merasakan perasaannya berubah dan mula menyayangi bayi yang dianggap anaknya sendiri setelah melalui tempoh kehamilan dan kelahiran
5.4 Secara kesimpulannya, sekalipun memiliki zuriat adalah tujuan yang murni, tetapi apabila dinilai kesan penyewaan rahim ini, ternyata membawa lebih banyak kemudaratan berbanding manfaat yang diterima, maka bersandarkan kepada kaedah fiqh
درء المفاسد مقدم على جلب المصالح ,
pengharaman penyewaan rahim lebih dekat kepada konsep سد الذريعة dan menepati maqasid as-syariah untuk memelihara keturunan (حفظ النسل ) daripada percampuran dan mengelakkan berlaku penghinaan kepada kehormatan manusia.
Justeru, pendapat yang mengatakan bahawa perkara ini termasuk dalam kaedah fiqhالضرورات تبيح المحطورات
adalah tertolak kerana antara criteria darurat ialah takut ditimpa kecelakaan dan mudarat yang teruk kepada diri dan orang lain sama ada secara yakin atau zon. Antara criteria atau dowabit darurat ialah bertepatan dengan maqasid as-syariah (kehendak syara’), bersandar kepada kaedah syara’, tidak membawa mudarat yang lain
(الضرر لا يزال بالضرر ) dan yang paling penting tidak bertentangan dengan prinsip Islam yang mengharamkan zina dan mengambil berat soal penthabitan nasab.
Selain itu, sekiranya ada pihak yang mengharuskan penyewaan rahim berhujah dengan mengqiaskan konsep penyewaan rahim dengan penyusuan (الرضاعة ) , hujah ini juga tertolak kerana qias tersebut adalah qias yang tidak boleh diterima kerana penyewaan rahim berbeza dengan penyusuan dari beberapa sudut:
(a) Manfaat pada upah penyusuan adalah manfaat yang disyariatkan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah sebagaimana firman Allah SWT di dalam Al-Quran:
فان أرضعن لكم فئاتوهن أجورهن وأتمروا بينكم بمعروف وان تعاسرتم
فسترضع له أخرى
Maksudnya:
“Dan jika mereka (wanita yang diceraikan) menyusukan anak-anakmu untukmu, maka berikanlah upah , dan bermusyawarahlah di antara kamu segala sesuatu dengan baik, dan jika kamu menemui kesulitan, perempuan lain boleh menyusukan anak itu untuknya.”Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
“ Diharamkan bagi kamu apa yang diharamkan bagi nasab”
Ini berbeza dengan akad penyewaan rahim yang merupakan manfaat yang tidak syar’ie kerana rahim adalah sebahagian daripada diri manusia yang tidak boleh diniagakan.
(b) Seseorang anak yang disusukan mempunyai nasab yang jelas dengan kedua ibu bapanya berbeza dengan janin yang belum sempurna di dalam rahim ibu tumpang.
(c) Bayi yang disusukan boleh diberi makanan lain selain susu pada keadaan tertentu, berbeza dengan penyewaan rahim kerana bekalan makanan janin itu bergantung sepenuhnya kepada darah ibu yang mengandungkannya.
6.0 BENTUK PENYEWAAN RAHIM YANG TIDAK DISEPAKATI ULAMA’ TENTANG PENGHARAMANNYA
Bentuk penyewaan rahim yang tidak disepakati pengharamannya oleh para ulama’ ialah sperma suami dan ovum isteri yang disenyawakan , kemudian dimasukkan ke dalam rahim isteri yang lain bagi suami yang sama. Keadaan ini berlaku apabila berlaku hajat seperti rahim isteri tidak dapat berfungsi atau dibuang akibat pembedahan, tetapi ovumnya baik.
Para ulama’ berselisih pendapat tentang perkara ini dan terbahagi kepada 2 golongan:
6.1 Golongan pertama : Golongan yang mengharamkan
Golongan ini berpendapat bahawa penyewaan rahim bentuk ini adalah haram sepertimana bentuk yang lain. Mereka berhujah dengan mengatakan bahawa ia akan membawa banyak masalah dan ada kemungkinan isteri (ibu tumpang) tersebut hamil dalam keadaan suaminya telah ‘bersama’ dengannya. Keadaan ini akan menyebabkan kekeliruan tentang siapa ibu sebenar anak tersebut.
Pada awalnya, Al- Mujamma’ Al-Fiqhi yang telah mengharuskan bentuk sewa rahim ini pada daurahnya ketujuh pada tahun 1404 H dengan syarat berhati-hati supaya benih tidak bercampur dan tidak melakukannya kaedah ini melainkan ketika keperluan. Namun, al-Mujamma’ Al-Fiqhi telah membatalkan ketetapan tersebut pada daurah kelapan pada tahun 1405 H seperti berikut ;
“Ini kerana isteri yang dimasukkan benih isteri pertama (ibu tumpang) tersebut mungkin hamil sebelum rahimnya dimasukkan benih yang disenyawakan, hasil hubungannya dengan suaminya yang dilakukan dalam jangka masa yang berdekatan dengan proses memasukkan benih isteri yang lain tadi.Kemudian jika lahir kembar, tidak diketahui anak yang terhasil daripada hubungan suami isteri tadi atau hasil benih isteri lain yang dimasukkan ke dalam rahimnya. Begitu juga jika salah satu daripada benih yang disenyawakan tadi mati atau gugur, tidak dapat dipastikan kedudukan ibu sebenar bagi anak yang lahir. Maka berlaku percampuran nasab dalam menentukan ibu sebenar dan keraguan yang bersangkutan hukum pewarisan, nafkah dan hak-hak yang lain yang tertakluk kepada hokum dalam keadaan yang disebutkan tadi.”
Para doctor kehamilan dan kelahiran juga mengakui kemungkinan berlaku kehamilan kedua hasil hubungan suami dengan isteri (ibu tumpang) dan berlaku percampuran nasab dari sebelah ibu.
Mereka juga berhujah dengan mengqiaskan penyewaan rahim bentuk ini dengan lesbian. Lesbian adalah haram, maka memindahkan benih seseorang wanita kepada wanita lain adalah menyerupai perbuatan ini.
Perbincangan hujah:
Kemungkinan berlaku kehamilan kedua adalah dari sudut teori, tetapi dari sudut praktikal, kemungkinan itu adalah jauh kerana untuk proses memasukkan benih yang disenyawakan memerlukan kepada banyak pemeriksaan dan kekerapan ini akan menghalang isteri melakukan hubungan dengan suaminya. Malah isteri tersebut juga tidak akan keluar dari hospital melainkan selepas ovari disekat dan benih yang dimasukkan tadi dapat benar-benar melekat pada rahim. Oleh itu kehamilan kedua adalah jauh dari sudut praktikal sekalipun mungkin berlaku dari sudut teori sepertimana pendapat sebahagian doctor pakar.
Selain itu, mengqiaskan ibu tumpang dengan lesbian ( السحاق ) adalah qias yang tidak boleh diterima, kerana tujuan lesbian ialah berseronok-seronok dan memenuhi syahwat semata-mata, bukan melahirkan anak, berbeza dengan penyewaan rahim bertujuan mendapat anak, bukan syahwat. Lantaran itu, lesbian juga tidak melibatkan pemindahan benih antara satu kepada yang lain , bertentangan dengan penyewaan rahim.
6.2 Golongan kedua : Golongan yang mengharuskan
Mereka berpendapat penyewaan rahim bagi bentuk ini adalah harus kerana kedua-dua wanita tersebut adalah isteri bagi suami yang sama dan isteri yang lain secara sukarela mengandungkan anak bagi madunya. Dalam keadaan ini , bapa anak tersebut telah pasti dan ikatan kekeluargaan wujud dalam lingkungan yang baik, begitu juga tidak wujud pencampuran nasab dari sudut suami dan isteri jika sikap berhati-hati diambil kira bagi memenuhi syarat-syarat yang menjamin tidak berlaku percampuran nasab. Oleh sebab itu, Al- Mujamma’ Al-Fiqhi li Rabitoh Al-‘Alam al-Islami secara majority mengharuskan penyewaan rahim bentuk ini dalam daurah ketujuhnya, dengan syarat pengawasan yang betul-betul sempurna agar tidak berlaku percampuran benih, kerana kesilapan dalam percampuran benih dengan yang lain akan memberi kesan kepada generasi demi generasi.
Mereka juga mensyaratkan untuk tidak menggunakan kaedah ini melainkan ketika adanya hajat.
Perbincangan hujah:Sikap berhati-hati yang wajib diambilkira terbukti dengan jaminan, syarat, dan pengawasan yang mencukupi dengan segenap kemampuan yang ada mengikut batasan kemampuan manusia. Manusia tidak dipertanggungjawabkan dengan sesuatu yang di luar kemampuannya untuk mengelakkan kesilapan tersebut. Sebagai contoh, berlaku percampuran antara bayi-bayi yang dilahirkan di beberapa hospital bersalin kerana kesilapan jururawat meletakkan tanda pengenalan pada anak yang baru lahir, adakah hospital perlu ditutup kerana kesilapan ini atau menguatkuasakan peraturan dan pengawasan yang lebih teliti untuk mengelakkan berlaku masalah sedemikian. Kita perlu menjaga agama dan keturunan, tetapi bukan dengan ikhtiat yang terlalu syadid hingga menyusahkan yang membawa kepada mengharamkan yang halal, menutup pintu perkara yang halal sebagaimana kita menghalalkan yang haram, kadangkala kita juga mengharamkan yang halal, atau kita mengharamkan perkara yang harus ketika darurat dan sewaktu ada keperluan.
Isteri kedua itu juga wajiblah mendapat hak sepertimana isteri pertama dan tidak dikahwini hanya semata-mata tujuan tersebut dan kemudian diceraikan selepas itu dan perlu melakukan penyewaan rahim tersebut dengan kerelaan hatinya. Ia akan mendekatkan hati antara para isteri kerana anak itu akan mengikat kasih-sayang antara mereka dalam satu keluarga tanpa sebarang perebutan seperti keadaan di Barat.
Dari aspek yang lain, sekiranya kita mengatakan tidak harus menyewakan rahim, ini tidak menghalang untuk pemberian hadiah dan penghargaan kepada isteri yang mengandung anak tersebut sebagai balasan terhadap pengorbanan yang dilakukan.
6.3 Kesimpulan:
Berdasarkan kepada hujah yang diberi, ternyata pendapat yang mengharuskan penyewaan rahim kepada isteri kedua ini terbina atas syarat-syarat yang ketat dan adanya jaminan langkah berjaga-jaga demi memastikan tidak berlaku kesilapan dan percampuran nasab berlaku. Selain itu, penyewaan ini dilakukan dalam keadaan diyakini tidak mengundang mudarat yang lain yang sama atau lebih besar kepada mana-mana pihak bersandarkan kepada kaedah ( ( الضرر لا يزال بالضرر(
Namun, sekiranya syarat tersebut tidak dipenuhi, maka hokum akan kembali kepada hokum asal iaitu haram menyewakan rahim kepada orang lain sekalipun ibu tumpang tersebut adalah isteri dari suami yang sama dan adanya kemaslahatan kepada pihak suami isteri tersebut kerana درء المفاسد مقدم على جلب المصالح . Walaupun begitu, setakat ini , tidak ada satu kes pun penyewaan rahim bentuk ini dilakukan . Justeru, mengambil sikap ikhtiati dengan meninggalkan perkara yang harus kerana takut jatuh kepada perkara yang haram lebih menghampiri sifat wara’ kerana Rasulullah ada bersabda:
ان الحلال بين وان الحرام بين وبينهما أمور مشتبهات لا يعلمهن كثير من الناس . فمن اتقى الشبهات فقداستبرأ لدينه وعرضه ومن وقع في الشبهات وقع في الحرام : كالراعي يرعى حول الحمى يوشك أن يرتع فيه. الاوان لكل ملك حمى. ألا حمى الله محارمه.
Maksudnya : “Sesungguhnya yang halal itu jelas, dan yang haram itu jelas dan di antara keduanya perkara-perkara kesamaran yang tidak diketahui kebanyakan daripada manusia. Barangsiapa yang menjauhi syubhat (kesamaran), maka dia telah membebaskan agama dan kehormatannya. Barangiapa melakukan perkara kesamaran itu, dia mungkin akan terjatuh kepada perkara yang haram.Seumpama pengembala yang mengembala berhampiran taman larangan mungkin gembalaannya diragui akan ke sana. Bukankah bagi setiap raja ada taman larangannya? Sesungguhnya kawasan larangan Allah SWT ialah perkara-perkara yang diharamkannya.”
7.0 HUKUM-HUKUM SYARA’ BERKAITAN PENYEWAAN RAHIM
7.1 Kepentingan Penentuan Nasab Anak dalam Penyewaan RahimPenentuan nasab anak sangat penting dari segi syara’ kerana nasab memberi kesan kepada banyak hukum syara’ yang berkaitan dengan anak, ibubapa dan kedua-duanya.
Antara hokum syara’ berkaitan ibubapa ialah tanggungjawab berbuat baik terhadap ibubapa, keizinan ibubapa untuk berjihad apabila jihad dalam keadaan fardhu kifayah, pengguguran qisas apabila bapa membunuh anaknya, pengguguran hudud qazaf, perwalian dalam nikah, dan sebagainya.
Antara hokum berkaitan anak-anak ialah penyusuan yang menjadi hak wajib ke atas ibubapa, penjagaan dan pengasuhan anak-anak.
Manakala hokum yang berkaitan ibu bapa dan anak-anak ialah: Hak pewarisan harta, pengharaman berkahwin, nafkah, zakat fitrah, dan sebagainya
7.2 Persoalan Pertama : Siapakah Ibu Yang Sebenar , Ibu Yang Mewariskan Ciri-ciri Genatik atau Ibu Yang Melahirkannya?
Walaupun pada dasarnya penyewaan rahim ini haram, namun apabila ia benar-benar berlaku, penentuan perlu dibuat terhadap nasab anak terhadap ibunya yang sebenar. Justeru, dalam perkara ini, para ulama’ telah terbahagi kepada 2 pendapat utama, iaitu:
7.2.1 Pendapat pertama:
Termasuk golongan ini antaranya, Dr. Muhammad Na’im Yasin, Dr. Abdul Hafiz Hilmi, Dr. Mustafa Al-Zarqa, Dr. Zakaria Al-Bari, Dr. Muhammad As-Surtowi Dekan Fakulti Syariah Universiti Jordan dan lain-lain. Mereka berpendapat ibu sebenar yang dinasabkan anak padanya ialah ibu pemilih benih, manakala ibu yang mengandung dan melahirkan itu seumpama ibu susuan yang tidak dinasabkan anak padanya , sekadar dithabitkan hukum penyusuan.
Pendapat ini dibina di atas asas bahawa persenyewaan benih di antara benih suami isteri yang diikat oleh ikatan perkahwinan yang sah, maka janin itu dinasabkan kepada mereka.Manakala ibu tumpang tersebut mengambil hokum ibu susuan kerana ibu susuan memberi minum susunya, lebih-lebih lagi ibu tumpang yang anak tersebut mendapat makanan dari darahnya dari awal pembentukannya hingga sempurna kejadian sebagai seorang bayi dan lahir. Oleh itu, lebih aula untuk ibu tumpang tersebut dihukumkan sebagai ibu susuan.
Di samping itu, ciri-ciri diri manusia dan sifat yang diwarisinya ditentukan oleh mani dan benih ibubapanya, bukan ibu yang mengandung dan melahirkannya, kerana ibu tumpang hanya tempat bergantung dan tumpang membesar.Hujah ini juga merupakan hujah kebanyakan doktor perubatan.
7.2.2 Pendapat kedua :
Termasuk golongan ini ialah sebahagian besar para ulama’ dan pengkaji antaranya Sheikh Abdullah bin Zaid Ali Mahmud, Dr. Muhammad Yusuf Al-Muhammadi, Sheikh Muhammad Al-Khudri,Qadi Mahkamah Agung di Riyadh dan lain-lain. Mereka berpendapat bahawa ibu sebenar ialah ibu yang mengandungkan bayi dan melahirkannya, manakala ibu pemilik benih itu seumpama ibu susuan. Mereka melihat dari sudut anak itu dinasabkan kepada ibu yang melahirkannya kerana nasab anak ditentukan berdasarkan tiga perkara iaitu wanita yang melahirkannya, pengakuan suami, dan saksi.Rentetan daripada itu, ibu yang melahirkan anak tersebut akan mewarisi harta, dan anak itu dinasabkan kepada suaminya, kerana الولد للفراش (anak adalah untuk suami) berdasarkan kaedah syara’ yang diambil dari hadith Rasulullah SAW.
Mereka berhujah dengan dalil-dalil berikut :
Banyak ayat-ayat Al-Quran yang menyatakan bahawa ibu adalah wanita yang melahirkan, antaranya:
1. Firman Allah SWT :
ان أمهاتهم الا اللائي ولدنهم
Maksudnya: “ Ibu-ibu mereka tidak lain melainkan ibu yang melahirkan mereka”
Dalam ayat ini Allah menafikan keibuan bagi wanita yang tidak melahirkan kerana ayat ini datang dalam shigah al-hasr bererti ibu ialah wanita yang melahirkan. Jadi, bagaimana wanita yang melahirkan anak tidak methabitkan nasab anak yang dilahirkannya?
2. Firman Allah SWt :
حملته أمه كرها و وضعته كرها
Maksudnya : “ Ibunya mengandungkannya dengan susah payah dan melahirkannya dengan susah payah pula”
Allah menjelaskan ibu yang mengandungkan dan melahirkan dalam keadaan susah payah.
3. Firman Allah SWT :
والوالدات يرضعن أولادهن
Maksudnya : “Para ibulah yang menyusukan anak-anaknya”
4. Firman Allah SWT :
يخلق من بطون أمهاتكم خلقا من بعد خلق في ظلمات ثلاث
Maksudnya : “ Dia menjadikan kamu dalam perut ibumu kejadian demi kejadian dalam tiga kegelapan”
5. Firman Allah SWT :
والله أخرجكم من بطون أمهاتكم
Maksudnya : “ Dan Allah mengeluarkanmu dari perut ibumu”
6. Firman Allah SWT :
ووصينا الانسان بوالديه حملته أمه وهنا على وهن
Maksudnya : “Dan kami perintahkan manusia berbuat baik kepada kedua orang ibu bapanya, ibunya yang mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah”
Selain itu, mereka juga berhujah dengan hadith Rasulullah SAW :
ان احدكم يجمع خلقه في بطن أمه أربعين يوما نطفة، ثم يكون في ذلك علقة
Maksudnya : “Sesungguhnya seorang di kalangan kamu dijadikan di dalam perut ibunya empat puluh hari nutfah (mani yang bercampur) , kemudian menjadi ‘alaqah (segumpal darah)”
Berdasarkan dalil-dalil yang disebutkan tadi, jelaslah bahawa ibu bagi anak itu ialah ibu yang mengandung dan melahirkannya. Maka sehubungan dengan itu, semua hokum syara’ berkaitan hak dan tanggungjawab sebagai ibu seperti pewarisan harta, kewajipan memberi nafkah dan penjagaan anak, dari sudut halal haram dan sebagainya yang bersangkutan adalah sepertimana ibu yang hakiki.
Perbincangan hujah :
Hujah pihak kedua ini telah ditolak oleh pihak yang pertama yang mengatakan bahawa ibu sebenar ialah pemilik benih asal anak tersebut dengan mengatakan bahawa mereka menggunakan dalil ayat Al-Quran dan hadith bukan pada tempatnya. Mereka menolak penggunaan dalil tadi sebagai hujah dengan alasan seperti berikut :
1. Nas yang digunakan oleh golongan kedua yang menyatakan bahawa ibu adalah wanita yang mengandungkan dan melahirkan tidak boleh digunakan untuk menguatkan hujah ini kerana ibu yang sebenar di dalam Islam dan sewaktu penurunan Al-Quran ialah wanita yang melahirkan, mengandungkan dan pemilik benih yang mewariskan sifat-sifat pada anaknya. Maknanya, seseorang anak memiliki dua hubungan dengan ibunya iaitu ;
a. Hubungan pembentukan dan pewarisan genetic yang berpunca dari benih ibu
b. Hubungan kehamilan, kelahiran dan perlindungan yang berpunca dari rahim ibu
Justeru, mengatakan bahawa ibu ialah wanita yang melahirkan semata-mata adalah tidak tepat kerana ibu yang dimaksudkan ketika penurunan al-Quran adalah ibu yang memiliki kedua-dua hubungan tersebut.
2. Ayat yang digunakan sebagai dalil berkenaan ayat zihar iaitu ayat kedua Surah Al-Mujadalah adalah tidak tepat kerana ayat itu diturunkan bagi menjawab persoalan zihar (menyamakan isteri dengan ibu atau mahram suami) bahawa isteri bukan ibu, sebaliknya ibu ialah insan yang melahirkan. Mungkin dikatakan bahawa
العبرة بعموم اللفظ لا بخصوص السبب
tetapi terdapat perbezaan di antara keadaan ibu yang dimaksudkan kerana ibu yang dimaksudkan di dalam ayat ialah ibu yang melahirkan dan memiliki nilai-nilai genetic anak, bukan melahirkan anak semata-mata.
Jawapan ini telah dijawab semula olah golongan yang menyatakan pendapat kedua bahawa tidak ada ijtihad dalam keadaan kita masih ada nas Al-Quran dan hadith yang boleh dijadikan sandaran.
7.2.3 Pendapat Ketiga :
Golongan ini berpendapat bahawa kedua-dua ibu tersebut tidak dikira ibu bagi anak yang dilahirkan.
7.2.4 Pendapat Keempat :
Golongan ini berpendapat kedua-dua ibu ini seumpama ibu susuan, kerana yang pertama sebab memiliki ciri-ciri warisan dan yang kedua kerana melahirkan.
7.2.5 Kesimpulan:
Setelah perbincangan hujah tadi, kita mendapati bahawa hujah pendapat pertama yang mengatakan bahawa ibu yang sebenar ialah ibu yang memiliki ovum lebih kuat dan praktikal dalam menyelesaikan pertikaian yang rumit ini sekalipun dari segi zohir bertentangan dengan nas Al-Quran dan Hadith.Oleh itu, ibu terebut dithabitkan padanya hokum pewarisan harta, nafkah, hadonah dan sebagainya, manakala ibu yang melahirkan diiktibar sebagai ibu susuan.
7.3 Persoalan Kedua : Nasab Anak Dari Sudut Bapa, Kepada Siapa?
Dalam menyelesaikan persoalan ini, para ulama’ terbahagi kepada 2 pendapat utama iaitu:
7.3.1 Pendapat pertama :
Golongan ini berpendapat bahawa nasab anak dari sudut bapa adalah kepada suami kepada ibu tumpang pemilik rahim yang melahirkan anak tersebut sekalipun beliau tidak memiliki apa-apa hubungan dari sudut genetic.
Mereka berhujah bersandarkan hadith Rasulullah SAW :
عن عائشة أن النبي صلى الله عليه وسلم قال : الولد للفراش و للعاهر الحجر.
Maksudnya: “Anak dinasabkan kepada bapanya, dan bagi penzina terhalang .”
Hadith ini merupakan nas yang digunakan dalam menentukan hukuman dalam kehakiman dan ia juga kaedah umum syara’ dalam menetapkan haramnya pernikahan dan cara menentukan nasab bagi seseorang anak. Oleh itu, apabila ibu tumpang yang mempunyai suami melahirkan anak dari rahimnya bererti anak itu dinasabkan kepada suami isteri yang melahirkan anak tersebut sekalipun tidak memiliki hubungan dari sudut genetic.
Hadith ini juga ditafsirkan berdasarkan sebab wurud hadith ini iaitu seperti yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari bahawa berlaku pertelingkahan antara Saad bin Abi Waqqas dan ‘Abd bin Zam’ah diadukan kepada Nabi Muhammad SAW berkenaan anak jariah Zam’ah. Saad berkata: “Dia adalah anak saudaraku ‘Atabah (‘Atabah bin Abi Waqqas) yang berjanji bahawa anak yang dilahirkan itu untuknya.Maka dia (‘Abd bin Zam’ah) telah mengambilnya , jadi aku mengambilnya semula. ‘Abd bin Zam’ah berkata : “Dia adalah saudaraku, dan anak isteri ayahku. Jua lahir atas pembaringan ayahku.” Maka Rasulullah SAW bersabda : “ Dia adalah bagimu wahai ‘Abd bin Zam’ah.anak dinasabkan kepada ayahnya dan bagi penzina terhalang nasab anak baginya. Dan berhijablah daripadanya wahai Saudah (isteri baginda r.a)apabila dilihat iras muka anak itu seperti ‘Atabah dalam masa yang sama baginda mengetahui bahawa dia adalah saudara lelaki Saudah sebapa pada zahir hokum.
Perbincangan hujah:
Apabila diyakini tentang asal janin, bahawa anak itu bukan untuk suami pemilik rahim, maka anak itu tidak dinasabkan kepadanya.Ini kerana anak itu bukan darinya dan antara sebab thabit nasab ialah anak itu daripada mani(benih)nya, seumpama seorang wanita yang berkahwin dan melahirkan anak kurang daripada 6 bulan , maka anak tidak dinasabkan kepada suami secara ijma’.Jika dinasabkan kepadanya dengan sebab zahir, sedangkan dia mengetahui bahawa anak itu bukan daripadanya,maka wajib bagi suami menafikan anak itu kerana menasabkan anak yang bukan dari dirinya adalah haram. Dalam penyewaan rahim ini, persenyawaan dilakukan di luar rahim,maka tidak ada kaitan dengan suami ibu tumpang tersebut kerana benih tersebut bukan darinya. Oleh sebab itu, tidak harus dinasabkan anak itu kepadanya secara qat’ie dan wajib baginya menafikannya.
Nas hadith yang disebutkan tadi adalah untuk menghukumkan dalam keadaan syak pada kedudukan janin, dan tidak dapat dikenalpasti asalnya. Justeru, nasab anak dikembalikan kepada bapanya ( صاحب الفراش ) selagimana bapanya tidak menafikan anaknya berdasarkan hadith tadi. Keadaan ini adalah seumpama seorang wanita yang berzina kemudian melahirkan anak, jadi kehamilan tadi mungkin disebabkan oleh suaminya atau dengan sebab perzinaannya dengan lelaki yang lain, maka hadith ini menghukumkan bagi keadaan yang berlaku tadi.
7.3.2 Pendapat kedua :
Termasuk dalam golongan ini ialah Al-Mujamma’ Al-Fiqhi Al-Islami yang berpusat di Makkatul Mukarramah, dan lain-lain antaranya Sheikh Mustafa Az-Zarqa, Dr. Muhammad Na’im Yasin, Dr. Muhammad Al-hafiz Hilmi, dan Dr Hashim Jamil. Golongan ini berpendapat bahawa anak yang dilahirkan tadi dinasabkan kepada suami wanita pemilik benih yang disenyawakan benih keduanya tadi , dan tidak dinasabkan kepada suami pemilik rahim.
Ini adalah kerana penyewaan rahim ini dilakukan di atas dasar persenyawaan benih di antara kedua suami isteri, kemudian benih yang telah disenyawa tadi dimasukkan ke dalam rahim wanita lain. Oleh itu, janin tersebut terbina dari benih keduanya yang memiliki ikatan perkahwinan yang sah. Justeru, anak itu dinasabkan kepada mereka berdua selagi mana kedudukan mereka dalam keadaan ini. Walaupun penyewaan rahim ini haram dari segi syara’, ia tidak menghalang daripada dinasabkan anak itu kepada mereka kerana pengharaman ini adalah disebabkan mereka menggunakan rahim wanita lain yang tidak syar’ie.Ini adalah kerana dari segi saintifik, janin yang telah disenyawakan tidak terkesan dari rahim selain tumpang mendapatkan bekalan makanan untuk pembesarannya sedangkan sifat-sifat genetic adalah dari pemilik benih asal ovum dan sperma tadi.Ia juga seumpama kedua ibu bapa yang memberi makanan anaknya dengan makanan yang haram sehingga dewasa, kedua-dua ibu bapanya berdosa tetapi ini tidak memutuskan hubungan antara mereka.
7.3.3 Pendapat ketiga :
Golongan ini berpendapat bahawa pemilik benih tidak memiliki apa-apa hak, dan benihnya dikira sia-sia.
Mereka berhujah dengan kisah anak Zam’ah kerana Rasulullah Saw telah meletakkan bahawa anak itu adalah anak kepada Zam’ah sekalipun jelas bahawa dia bukan anak kepada Zam’ah dari segi zahirnya berdasarkan الولد للفراش . Dalam hal ini, hakikat penentuan hokum berdasarkan kepada zahir kerana hakikat sebenar adalah di bawah ilmu Allah SWT. Pendapat ini mengatakan bahawa tidak ada nilai bagi pemilik benih ataupun mani dalam kebanyakan keadaan kerana penentuan mestilah berdasarkan penentuan yang syar’ie dan sah.
Hujah ini dijawab bahawa keadaan penyewaan rahim berbeza dengan kisah anak Zam’ah kerana dalam kisah anak Zam’ah tersebut, janin itu terhasil daripada percampuran air mani antara dua orang lelaki dan perempuan tanpa ikatan yang sah,oleh sebab itu anak itu tidak dinasabkan kepada lelaki itu (‘Atabah).
Sedangkan dalam penyewaan rahim, persenyawaan benih berlaku antara dua orang pasangan suami isteri yang diikat oleh ikatan yang sah, maka anak itu dinasabkan kepada mereka.
7.3.4 Kesimpulan :
Berdasarkan hujah yang dikemukakan tadi , kita mendapati hujah pendapat yang mengatakan bapa anak tersebut ialah suami pemilik benih adalah lebih kuat kerana benih tersebut pada asalnya terhasil daripada percampuran benih antara pasangan suami isteri yang telah memiliki hubungan perkahwinan yang sah dan ditumpangkan kepada ibu tumpang untuk tujuan pertumbuhan janin.Ini berbeza daripada penzina yang melakukan hubungan tanpa ikatan yang sah maka anak tersebut tidak boleh dinasabkan kepada bapanya.
7.4 Syarat-syarat dan Hukum-hakam Berkaitan Kesan Penyewaan RahimDr. Yusuf Al-Qardhawi dalam bukunya Fatawa Mu’asarah menyatakan bahawa apabila sains telah sampai ke kemuncaknya dan penyewaan rahim benar-benar terjadi , kita perlu meletakkan syarat untuk mengurangkan kemudaratan dan meringankan kesannya (bukan sebagai tanda menghalalkannya), antaranya:
7.4.1 Ibu tumpang itu mestilah wanita yang bersuami, bukan anak dara atau janda
7.4.2 Wanita itu juga wajib mendapatkan keizinan suaminya, kerana kehamilan akan menghalangnya daripada menyempurnakan beberapa hak suaminya sepanjang tempoh kehamilan dan nifas seperti hubungan seks dan sebagainya
7.4.3 Wajib bagi ibu tumpang beriddah dari suaminya, bimbang masih terdapat benih yang disenyawakan pada rahimnya yang akan menyebabkan berlaku percampuran nasab
7.4.4 Nafkah ibu tumpang, kos rawatan dan penjagaannya sepanjang tempoh kehamilan dan nifas adalah tanggungjawab suami pemilik benih, atau wali selepasnya, kerana janin tersebut membesar daripada darahnya. Justeru, wajib bagi bapa tersebut membayar kadar kehilangan darah itu.
7.4.5 Thabit kesemua hukum penyusuan pada ibu tumpang dengan menggunakan ‘qias aula’ kerana ibu tumpang lebih berat tanggungannya daripada ibu susuan, kecuali suami ibu tumpang tersebut tidak dikira sebagai bapa susuan kepada bayi itu. Ini kerana bapa susuan dikira sebagai bapa bagi anak susuannya kerana susu itu terhasil apabila ibu susuan itu melahirkan anak hasil hubungan mereka suami isteri, berbeza dengan suami ibu tumpang yang tidak memiliki apa-apa hubungan dengan bayi yang dilahirkan.
7.4.6 Ibu tumpang berhak untuk menyusukan bayi itu jika beliau ingin berbuat demikian kerana membiarkan susu pada badannya akan memudaratkan fizikal, sebagaimana perasaannya juga terkesan apabila anak itu diambil daripadanya kerana Allah menjadikan penyusuan itu berkaitan dengan proses kelahiran
7.4.7 Akhirnya, Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menyatakan pendapatnya bahawa wajar bagi ibu tumpang ini mendapat keistimewaan yang lebih berbanding ibu susuan, seumpama nafkah daripada anak ini kepada ibu yang melahirkannya sekiranya beliau berkemampuan dan ibunya berhajat kepada nafkah kelak.
8.0 KESIMPULAN DAN PENUTUP
Sesungguhnya para ulama’ dan pengamal undang-undang masih membincangkan perkara ini dan tidak bersepakat dalam menentukan hokum dalam masalah yang disebutkan tadi. Di Barat, terdapat aliran yang kuat memberikan hak kepada ibu yang melahirkan contohnya di Britain. Manakala di California, pemilik benih dikira sebagai ibu sebenar dari sudut undang-undang.Di Itali, undang-undang melarang penyewaan rahim tetapi menerima sekiranya dengan kerelaan individu sendiri.
Suatu persoalan yang boleh ditimbulkan di sebalik permasalahan sewa rahim ini : Tidak adakah kaedah lain yang boleh digunakan bagi mengatasi masalah isteri yang tidak dapat mengandung sedangkan beliau berkeinginan memiliki anak selain daripada penyewaan rahim? Segalanya mungkin dengan perkembangan teknologi terbaru dalam bidang perubatan moden. Namun, ternyata apabila manusia tidak menjadikan agama sebagai pegangan dan akhlak sebagai benteng, berlaku pelbagai kefasadan di atas nama ketamadunan yang mengundang kemusnahan dan kecelaruan kepada institusi masyarakat.
Kertas kerja ini sebenarnya tidak lebih daripada merumuskan dan membentangkan semula perbincangan para ulama’ berdasarkan beberapa rujukan yang amat terhad dan masa yang singkat. Justeru, tentunya terdapat banyak kelemahan dan kekurangan yang perlu diperbaiki. Tanpa penguasaan ilmu yang mendalam, kita tidak akan mampu memilih pendapat yang terbaik , seterusnya menyelesaikan kemelut ummah dengan menonjolkan keindahan Islam sebagai nizomul hayah. Lantaran itu, sebarang teguran membina amat dialu-alukan dan teruskan pengkajian bukan terhad kepada apa yang dibentangkan ini.
والله أعلم بالصواب و هو يهدي الى سبيل الرشاد